Monday, May 3, 2010

AL FATIHAH

Sahabatku, Cikgu Mohd Nor Azam kembali ke rahmatullah pada 1 Mei 2010 lebih kurang jam 11.07 malam. Aku dimaklumkan kematiannya kerana penyakit radang paru-paru.

Perit sangat rasanya kehilangan seorang rakan sekerja yang terlalu baik. Dialah tempat aku bercerita tentang masalahku semasa menjaga abah yang masih tidak sihat. Banyak pesanan yang diberi agar aku tabah dan sabar selalu. Sering dititipnya pengalaman sama semasa menjaga arwah ayahnya. Kala orang lain tidak memahami keadaanku, sahabatku akan kerap menasihati dan sudi berkongsi pelbagai masalahnya. Banyak hal yang buat aku ketawa. Tidak ada hal yang menyebabkan aku berduka apabila berbual dengannya. Sungguh Azam, rakan yang bukan sebarangan rakan. Alhamdulillah dalam kalut, dapat juga kusediakan.

Masih teringat tarikh 21 April 2010. Pertandingan persahabatan sofbol antara SMKSTA dengan SMK Teknik Pdg Rengas. Azam memintaku memastikan ada air minuman di padang kerana rakan kami yang ditugaskan terpaksa balik ke rumah sebab ada hal yang tidak dapat dielakkan.
Petang itu cuaca tidak begitu baik.. Aku tak balik ke rumah pun. Semasa pertandingan berlangsung, aku bersama-sama Siti Marlina dan Hazlina lebih senang duduk di tangga besi di tepi padang. Azamlah yang bertungkus-lumus menasihati pemain-pemain sofbol. Bagiku, Azam memang hebat kerana tahu banyak hal tentang sofbol. Cuaca sekejap hujan sekejap panas. Akhirnya perlawanan tamat juga.

Balik sahaja dari sekolah, aku rasa badan tidak sedap. Pasti akan demam! Betullah, malam itu aku benar-benar demam. Esoknya, nak mengangkat hp untuk memberitahu pihak sekolah pun aku tak berdaya. Tau-tau PK 1 telefon. Aku maklumkan aku tidak sihat. Jumaat pun aku tidak berdaya, abang membawa aku ke klinik... malam itu pun aku tidak dapat tidur... seluruh sendi sakit-sakit. Nak berjalan pun, aku terpaksa berpaut. Rasanya kalau ditolak dengan hujung jari, aku pasti rebah. Aku menangis sahaja sepanjang dua hari memikirkan kalau aku mati, siapa akan jaga abahku.

Sabtu malam pun aku ke klinik lagi. Aku betul-betul rasa nak mati. 24 April kan tarikh lahirku. Kata orang, kematian ada kait-mengait dengan tarikh lahir kita. Jenuh aku menangis. Aku sedih sebab tak dapat mengurus abah. Aku betul-betul daif. Tapi, mampu pulak aku menghantar sms kepada Azam. Aku beritahu keadaanku kepada Azam... aku rasa nak mati dan betul-betul tidak berdaya. Kemudian Azam pesan kepadaku agar pergi ke klinik sahaja.

Sungguh aku tidak tahu Azam juga tidak sihat! Aku hantar sms yang berbunyi, "Kalau aku mati dahulu, aku harap kalian ampunkan dosa-dosaku." Azam membalasnya, "Aku pun. Isnin ni baru nak ke hospital. Itu pun kalau sempat." Begitulah sms Azam.

Isnin aku ke sekolah. Azam tak ke sekolah. Tahu-tahu dia ditahan di wad. Esoknya dapat tahu pulak Azam dimasukkan ke icu dan ditidurkan. Sepanjang minggu aku tak sihat. Bacaan yassin untuk Azam agar diselamatkan tetap berjalan. Namun, aku tak mampu menjenguk Azam kerana kesihatan tak mengizinkan dan aku juga tak ada masa untuk diriku apabila pulang ke rumah. Tapi, kalau Azam sihat dia akan tahu.

Hari demi hari menerima berita tentang Azam amat memeritkan. Hinggalah Sabtu malam, kak Nor Kamariah mengajakku menjenguk Azam di hospital. Aku dimaklumkan Azam tenat. Ya Allah, siapa yang silap untuk mati? Aku panjatkan doa... aku tak mahu Azam pergi. Namun, takdir datang juga apabila Hazlina menelefonku memaklumkan Azam sudah tiada. Rasa luruh tangkai jantungku... sungguh aku terasa aku yang patut pergi dulu. Ternyata Allah lebih menyayanginya. Begitu cepat masa berlalu... tiada tangguhNya walau sesaat.

Kupanjatkan doa semoga Azam, kau bahagia dan tenang di sana. Semoga Allah cucuri rahmat atas rohmu. Semoga tempatmu istimewa di sisiNya. Kepada yang tinggall, ya Allah berikan kami kekuatan untuk terus menghadapi hidup ini. Azam bukan sebarangan kawan. Tenanglah kau di persemadian. InsyaAllah, akan kuziarahi pusaramu lewat minggu ini.

Al Fatihah untuk Azam...